Sunday, November 18, 2012

Ceritera BFF saya


Hari ini sudah 17 November. Hanya tinggal sebulan lebih sahaja, bff saya akan berkahwin dengan kawan sekolah kami. Saya doakan yang terbaik buat mereka berdua.

Best Friends Forever (BFF). Iya. Itu kisahnya beberapa tahun yang lalu. BFF saya itu orangnya pendiam sangat ketika mula – mula saya berkawan dengannya. Dia pendiam. Saya pula kononnya antara yang kepoh di sekolah dahulu.

Dia pendiam, saya pula kepoh. Jadi kami serasi sangat kan? Sebenarnya dia jenis yang simpan rahsia. Dia baik. Dia selalu ada bila saya senang ataupun saya susah. Dia juga tak mahu saya sedih. Sebab itu dia tak sanggup nak beritahu saya dia mahu tukar sekolah. Dia hanya kirimkan sekeping surat sahaja pada saya melalui jirannya yang juga kawan sekolah kami. Sungguh, saya yang terkejut, tidak tahu hendak buat apa. Tetapi dia janji dia akan selalu berhubung. Dia janji. Dan dia tidak pernah memungkiri.

Dia BFF saya. Banyak yang dia ceritakan pada saya. Banyak juga yang saya ceritakan pada dia. Kami sememangnya berkongsi tentang banyak perkara. Antaranya tentang masa silam, tentang keluarga dan juga tentang angan – angan. Tentang kesukaan dan juga tentang kebencian.

Dia juga banyak menasihati saya. Dia juga banyak menegur saya. Banyak juga yang dia ajarkan pada saya. Nasihat dan teguran dia buat saya kuat. Buat sandaran hati saya. Buat penenang jiwa saya.

Biarlah saya kisahkan tentang dia yang banyak menghiasi zaman – zaman remaja saya. Kami mula berkawan sejak sekolah. Berkawan dan menerima satu sama lain. Mulanya kawan biasa hingga jadi kawan yang luar biasa. Dialah BFF saya.

Kalau dibelek – belek buku lama ketika zaman remaja pasti tercoret sesuatu yang mengingatkan saya tentang dia. Saya masih simpan buku autograph ketika penghujung tingkatan tiga. Dia ada lukiskan satu signmark nama saya. Elok lagi ia bertampal. Kalau dibelek – belek album lama juga pasti terjumpa kenangan saya dan dia. Ada sekeping gambar kami berdua. Dan saya fikir itulah satu – satunya gambar kami berdua. Selebihnya adalah gambar beramai – ramai. Dan dibelakang gambar itu ada saya coretkan sesuatu menyatakan dialah kawan terbaik saya. Ada juga saya coretkan sesuatu yang mana saya mahu menunggunya sampai bila – bila. Bunyinya kelakar kan?

Dia BFF saya. Dia juga pesaing terhebat saya dalam pelajaran. Saya perlu belanja dia kalau saya kalah bertanding. Begitulah juga kalau dia yang kalah bertanding. Saya masih ingat ketika hari pengumuman keputusan PMR. Waktu itu musim banjir. Dan saya naik sampan dibeberapa tempat untuk mengambil keputusan. Saya dapat 5A waktu itu. Dia juga dapat 5A. Kami tidak berjumpa di sekolah tetapi dia menelefon saya dan kami banyak berbual tentang keputusan dan tentang aliran apa yang hendak kami ambil pada tahun hadapan. Begitulah juga kisahnya ketika di IPT.

Dia BFF saya. Dia jugalah teman yang selalu menghiburkan hati saya. Kalau saya risau, pada dialah saya mengadu. Kalau saya senang, dialah yang pertama akan saya khabarkan berita itu. Dialah yang pertama saya akan hubungi. Mengetahui keadaannya adalah sesuatu yang mesti saya ketahui terlebih dahulu dalam banyak perkara.

Dan benarlah, zaman remaja zaman yang penuh dengan perkara yang entah apa – apa. Sikapnya telah buat saya jatuh cinta. Dan akhirnya menyebabkan dia menjauh diri. Salah saya juga kerana terlalu terbawa rasa itu. Akhirnya saya yang malu sendiri. Namun dialah BFF saya. Walaupun begitu akhirnya dia nasihatkan saya. Akhirnya kami kembali berkawan. Saya serik kehilangan dia. Jadi rasa tak seberapa itu saya pendamkan terus dalam dasar hati. Kami terus jadi kawan yang kembali menyokong dan mendokong satu sama lain. Malah hubungan itu lebih akrab dari sebelumnya.

Hubungan kami akrab benar. Kami saling ambil berat. Saling percaya. Tetapi salah saya juga yang tidak sabar dan suka main – main. Akhirnya kami bergaduh hingga dia menjauh sekali lagi. Kali ini susah benar hendak saya pujuk. Jadilah saya ibarat ibu kucing hilang anak. Resah. Saya sudah tiada lagi kawan yang boleh saya ceritakan tentang hidup. Saya sudah tiada lagi kawan yang akan menasihatkan saya. Saya sudah tiada lagi kawan yang akan menghibur hati saya. Saya tiada lagi kawan yang akan menghubungi saya selang tiga hari. Saya sudah tiada lagi kawan yang akan menegur saya tentang banyak perkara. Saya sudah tiada lagi kawan yang ambil berat tentang saya. Segala – galanya bagai terhenti. Saya sudah hilang kawan yang paling saya sayang. Dunia saya seakan gelap. Iya. Keadaannya bagai ibu kucing hilang anak. Iya sehingga bertahun – tahun lamanya. Saya tetap ibu kucing hilang anak yang tercari – cari mana perginya kawan terbaik saya.

Aku sudah tidak tahu bagaimana hendak berkawan dengan kau. Kau macam orang asing bagi aku sekarang!

Dalam saya cuba memujuknya. Mengakui salah saya. Dalam saya cuba untuk tidak kehilangannya, saya terima satu sms ringkas berbunyi seperti diatas. Waktu itu hati saya pilu sangat. Akhirnya saya benar – benar sudah kehilangan kawan terbaik saya.

Berbulan – bulan saya cuba bertabah. Banyak kali juga gagal. Saya rindu kawan saya. Rindu nak berbual. Banyak kisah yang hendak saya khabarkan. Banyak juga gelisah ingin saya adukan. Banyak rasa ingin saya kongsikan.

Masih terasa peritnya hati saya bila sms dihantar tak pernah dibalas. Panggilan telefon juga tak pernah diangkat. Kalaupun diangkat, diamnya bisu tak berkata – kata? Tidak rindukan dia pada saya? Tak pernahkan dia ingat akan saya? Adakah salah saya itu tak termaafkan?

Dia memang BFF saya. Suatu hari saya resah tiba – tiba? Sakitkah dia? Dan bila rasa resah itu saya sahkan melalui sahabatnya, saya jadi risau teramat – amat. Saya mahu melawat tetapi gusar kehadiran saya tak dipeduli. Kawannya yang saya tak pernah jumpa itu, memujuk agar saya hadir. Katanya keadaannya agak merisaukan. Saya mahu pergi tetapi sms darinya itu menghalang saya. Saya inikan sudah asing sekali bagi dirinya!

Dia memang BFF saya. Jadi walaupun dia tidak mahu berbaik, saya tetap berusaha. Dan akhirnya doa saya termakbul. Setelah hampir dua tahun tidak berbual, akhirnya dia menjawab panggilan saya. Dan akhirnya kami berdamai.

Walaupun persahabatan baru yang terbina ini sesuatu yang saya nantikan tetapi ianya tetap tidak sama dengan yang sebelumnya. Namun, tidak mengapalah, saya sudah dapat kembali kawan saya walaupun dia mungkin sudah anggap saya sebagai kawan biasa. Biarlah saya tetap menganggapnya sebagai BFF saya.

Dan, tidak lama lagi dia bakal melangsungkan perkhawinan. Tahniah sahabat. Tahniah BFF ku. Walaupun dalam hati saya masih ada kamu, saya akan bertabah. Saya akan menguatkan semangat saya. Saya akan berusaha lagi. Dulu, saya pernah berusaha dan berjaya melalui hari – hari yang sukar tanpa kamu, jadi In Sha Allah, tentu kali ini saya juga akan mampu bertabah.

Ada orang bertanya, mengapa saya menulis begini? Jawapannya mudah, Saya mahu bertabah tapi sering gagal. Mahu saya lepaskan apa yang ada dalam hati tentang dia (BFF saya) tetapi sering tak terlepas. Mahu bebas dari rasa tak menentu ini tetapi tetap terkurung. Saya mahu redha, mahu bertabah dengan semua ini tetapi mengapa payah benar?

Saya menulis ini sebagai satu kaedah mahu bertabah. Mahu saya ceritakan pada teman – teman tetapi tak ramai yang memahami. Jadi saya menulisnya. Jika ada yang terbaca kisah ini, nasihatkanlah saya.

Saya menulis bukan untuk mengelirukan hati sesiapa. Dan bukan juga saya mengharapkan dia kembali pada saya. Tidak sesekali. Saya tidak sanggup untuk menjadi orang ketiga dalam perhubungan mereka. Tidak sesekali. Saya cuma mahu berkongsi cerita. Kerana saya rindu kawan terbaik saya. Saya menulis kerana saya mahu redha. Mahu merasa bahagia kerana dia, BFF saya sedang bahagia juga.

Bertabah… bertabah… bertabah…
Doakan saya kawan – kawan….


No comments:

Post a Comment